Thursday, December 1, 2022

Ternak rusa sebagai hobi kini jadi sumber pendapatan

 




KUALA KRAI: Bermula sekadar hobi di masa lapang, seorang warga emas dari Kampung Chatel, Lata Rek, di sini, tidak menyangka menternak rusa sejak tiga tahun lalu memberi pulangan hasil lumayan, berikutan permintaan tinggi terhadap haiwan berkenaan.

Mat Roni Senek, 68, berkata, pada peringkat permulaan dia hanya menternak enam rusa yang dibeli dengan harga RM18,000 untuk dijadikan induk.

Katanya, pada tahun 2019 dia memulakan penternakan itu dengan membeli baka rusa jenis Sambar yang sudah matang dengan harga di antara RM1,500 hingga RM3,000 seekor daripada pengusaha di Tanah Merah.

"Walau bagaimanapun, saya tidak menjual daging haiwan ini meskipun ia mendapat permintaan yang tinggi daripada penggemar makanan eksotik memandangkan daging rusa tidak boleh dijual terus seperti daging lembu yang mana orang ramai membelinya secara harian.

"Namun bagi mana-mana penggemar daging rusa, saya menjual haiwan hidup ini dan harga bagi seekor rusa bergantung kepada fizikal dan keadaan haiwan ini.

"Alhamdulillah, setakat ini ia memang mendapat sambutan daripada peminat mahupun penggemar daging rusa di sekitar Kelantan.

"Rusa cepat membiak dan setakat ini saya sudah menjual tujuh rusa yang diternak dengan harga diantara RM2,800 hingga RM3,800 seekor," katanya ketika ditemui di Kampung Chatel, Lata Rek, baru-baru ini.

Bapa kepada tujuh anak berusia antara 25 hingga 46 tahun ini berkata, keputusan menternak rusa sebagai hobi masa lapang adalah tepat apabila ternakan yang diusahakan sejak 2019 kini memberi pulangan hasil lumayan.

"Saya tidak mahu menjadikan usia emas sebagai alasan untuk berehat dan duduk diam di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti dan pada masa sama ia juga mampu menghilangkan tekanan selepas menghidap kencing manis," katanya.

Mat Roni berkata, setiap pagi rusa berkenan akan diberikan makanan rumput segar selain dedak bagi memastikan tumbesarannya.

"Menternak rusa tidak memerlukan kos yang tinggi dan kaedah penjagaannya juga jauh lebih jimat berbanding haiwan lain seperti kambing dan lembu.

"Setiap bulan saya hanya memperuntukan RM400 untuk membeli dedak rusa dan akan memberi haiwan ini makan tiga kali sehari," katanya.

Katanya, penternakan rusa tidak terdedah kepada banyak penyakit seperti kambing dan lembu dan keadaan ini memudahkan penjagaannya malah saya turut mendapat sokongan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang sentiasa memantau keadaan haiwan ini.

"Sepanjang pengalaman saya, haiwan ini sukar mendapat penyakit dan boleh dikatakan rusa ini dalam kategori haiwan ternakan yang lasak dan mudah dijaga.

"Pada ketika ini, saya mempunyai 17 rusa, namun jumlah itu sentiasa berubah mengikut permintaan pelanggan," katanya.


- Copyright From: Berita Harian



Monday, January 10, 2022

Ternak rusa lebih menguntungkan

 


Hulu Terengganu: Kebiasaannya penternak lebih berminat menternak lembu atau kambing, namun berbeza dengan lelaki ini apabila meraih pendapatan lumayan hasil menjalankan penternakan rusa timorensis sejak lima tahun lalu.

Ghazali Mat, 67, dari Kampung Pauh, Kuala Berang, di sini, berkata dia mengeluarkan modal sebanyak RM20,000 pada 2018 untuk membeli 10 ekor rusa timorensis dari Lenggong, Perak.

"Dalam tempoh lima tahun, saya memperolehi RM40,000 hasil daripada menjual 15 ekor rusa dan sudah mendapat modal yang dikeluarkan dahulu.

"Sekarang saya memiliki sebanyak 50 ekor rusa hasil pembiakan yang dijalankan dan ia ialah keuntungan. Seronok ternak rusa kerana ternakan itu cepat membiak berbanding ternakan lain termasuk kambing dan lembu.

"Selagi banyak induk betina, semakin banyak purata jumlah ternakan bertambah pada setiap tahun," katanya ketika ditemui di kandang rusa miliknya, hari ini.

Ghazali berkata, kos makanan ternakan pada setiap bulan juga tidak besar berbanding ternakan lain.

"Selain memberi makanan palet, saya juga memberi rumput dan sisa buah-buahan rosak yang dibeli secara borong.

"Rusa-rusa berkenaan dijual pada harga RM3,000 hingga RM7,000 seekor dan ia memang berbaloi," katanya yang turut menjual daging rusa segar.

Katanya, dia sentiasa memberi galakan kepada orang ramai terutama generasi muda supaya menceburi bidang penternakan rusa.

"Rusa lebih lasak berbanding kambing dan permintaan terhadap daging rusa semakin meningkat dari semasa ke semasa," katanya.


-This Content Copyright: Hmetro