Wednesday, December 2, 2020

Ternak rusa bantu pesara jana pendapatan

 




KUALA KRAI: Hobi menternak rusa memberi pendapatan lumayan kepada seorang pesara apabila ternakan yang diusahakan mendapat permintaan tinggi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Rusa baka Timorensis diusahakan Mohd. Zaid Zakaria, 58, di rumahnya di Kampung Sungai Sam di sini sejak lapan tahun lalu membiak dengan cepat dan semakin bertambah bilangannya dari bulan ke bulan.

Mohd. Zaid berkata, kos dan kaedah penjagaan rusa jauh lebih jimat berbanding haiwan seperti lembu dan kambing.

“Pada permulaannya, saya mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM13,500 untuk membeli lima induk rusa dari seorang penternak di Sungai Jin, Kuantan, Pahang.

“Lama-kelamaan ternakan itu terus membiak. Sekarang ini saya masih ada 13 ekor lagi termasuk enam ekor rusa betina yang sedang bunting,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zaid berkata, selain dapat menjual rusa hidup antara RM2,000 hingga RM5,000 seekor bergantung kepada saiz, umur dan jantina, dia juga dapat menjual daging haiwan itu pada harga RM65 sekilogram.


-copyright from Utusan Malaysia